29 Mar 2014

Kenali Ubat Anda

Kempen 'Kenali Ubat Anda' (Know Your Medicine) telah dilancarkan pada tahun 2007 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA). Tujuan utama ialah supaya pesakit lebih peka dengan ubat mereka dan menggunakan ubat secara rasional.

Soalannya ialah, adakah anda peka dengan ubat yang anda/ahli keluarga anda ambil?

:)

Ada pelbagai aspek dalam kempen Kenali Ubat Anda. Dalam entri kali ni, perkara yang saya nak tekankan ialah 5B - 5 'Betul'.



Okay, jom kita tengok label ubat dulu:

Ketika mengambil ubat, pastikan semua butiran peribadi adalah betul.


1) Pesakit yang betul

Perkara pertama yang perlu disemak di sampul ubat ialah nama pesakit (dan kadangkala, no IC). Pesakit yang mengambil ubat sangat ramai, tak mustahil masalah tersalah bagi ubat tu akan berlaku. Jadi pesakit dan juga ahli farmasi kena ambil langkah-langkah yang sepatutnya untuk mengelakkan masalah tu.

Perkara pertama ahli farmasi akan tanya ialah, 'Apa nama pesakit?'

Kadangkala respons pesakit adalah sebegini:

'Saya batuk, demam'

'Isteri saya' atau 'Ayah saya' atau 'nenek saya'

'You tak tau ke nama saya?'

'Ada tulis situ'

'Tuuuu!'

*dan pelbagai jawapan loyar buruk yang lain

Nasihat saya, jawab je nama pesakit bila ditanya, ye. Ahli farmasi cuma nak double check supaya tak terbagi ubat kepada patient yang salah, perkara ni pernah terjadi, kalau jadi awak jugak yang marah, ye dak.


2) Ubat yang betul

Ini yang selalu jadi masalah. Kebanyakan pesakit, terutamanya yang sakit kronik (contoh, kencing manis, darah tinggi, dsbg) kenal ubat mereka dengan warna dan bentuk.

Nak bagitau, ubat darah tinggi yang bulat warna putih ada banyak sangat sangat.

Anda sepatutnya tahu nama ubat (dan bukan nama brand ubat). Contoh, nama brand ialah Coversyl, tapi nama ubat ialah Perindopril.

Kenapa tak digalakkan hafal nama brand ubat? Sebab kalau ambil ubat di hospital/klinik kerajaan, kita selalu tukar brand ubat berdasarkan harga dan kualiti ubat. Bila tukar brand, paket/kotak/botol ubat tu akan bertukar, bentuk dan warna ubat pun boleh bertukar. Jadi kalau hafal nama brand atau warna/bentuk ubat je dan brand ubat bertukar, kita sendiri yang keliru.


Kalau nak request brand sekian sekian, kena beli ubat tu sendiri di farmasi luar, ye.

(Selalunya bila sebut 'beli' ni pesakit akan diam dan ambil je ubat yang kita bagi. Kalau dia bising-bising jugak, mengucap je laa banyak kali dalam hati.)


3) Dos yang betul

Ubat ada dalam pelbagai dos (atau kekuatan, strength). Perindopril ada dalam 4 mg dan 8mg. Jadi kena ambil tau jugak dos apa yang biasa kita pakai.

Kadangkala doktor akan naik atau kurangkan dos sesuatu ubat tu, jadi kena peka laa setiap kali jumpa doktor. Ada patient yang makan ubat yang sama dah lama, dia tak sedar doktor naikkan dos, jadi dia makan ubat pakai dos yang lama je.


Satu lagi, pesakit tak boleh tukar dos sesuka hati. Doktor kata dia kena makan satu biji ubat tiap-tiap hari, tapi kalau dia rasa sihat dia tak makan ubat, dan kalau dia rasa sakit dia makan dua biji ubat. Ini sangat berbahaya. Boleh overdose, boleh menyebabkan sistem badan jadi huru-hara, boleh dapat kesan sampingan, dan sebagainya.

Kita selalu dapat detect kalau patient makan ubat lebih, sebab belum sampai next appointment lagi tapi dia dah datang ambil ubat, katanya ubat tak cukup. Bila tanya, makan ikut arahan doktor ke? Dia jawab ye. Nak tak nak, kena bagi jugak, sebab ubat dia dah habis. Patient ni ada jenis yang degil, dia rasa dia paling betul, memang susah.

Bila hari ni baru teringat yang semalam lupa nak makan ubat, JANGAN gandakan dos. Makan ubat ikut dos biasa untuk hari ni je.


Masalah yang lain, ialah apabila pesakit ambil ubat di banyak tempat, contoh dia ambil di hospital kerajaan dan di Institut Jantung Negara (IJN). IJN mungkin pakai brand ubat yang berbeza tapi ubat yang sama, dan di rumah pesakit makan kedua-dua ubat tu. Masalah overdose dan dapat kesan sampingan boleh berlaku.

Seeloknya, bila pergi mendapatkan rawatan di mana-mana je, bawak sekali semua ubat yang ada, setidaknya bawa sekali buku rawatan. Dalam buku rawatan tertulis segala sejarah perubatan anda, jadi doktor di mana sahaja boleh baca dan tahu apa masalah perubatan anda.

Selalu juga pesakit bawa seplastik besar semua ubat yang ada di rumah, rupanya ubat berlebihan sebab satu, dia tak makan (tak mengikut arahan) dan dua, dia ambil ubat di banyak tempat sampai tak termakan.


4) Cara penggunaan yang betul

Mudah je, kalau ubat tablet kena makan, ubat larut dalam air kena laa larut dalam air, ubat sirap kena ukur pakai picagari. Ubat losyen atau krim tak boleh dimakan, kena sapu di kulit.

Ada jugak ubat yang nampak macam ubat makan, tapi sebenarnya bukan. Contoh:
Spiriva (nama brand)
Tiotropium Bromide (nama ubat)


Bentuknya macam kapsul, tapi dipakai dengan Handihaler untuk disedut serbuknya. Ubat untuk penyakit paru-paru (chronic obstructive pulmonary disease, COPD).

Jadi, hati-hati. Wajib baca label untuk tahu macam mana nak guna sesuatu ubat tu.


5) Masa yang betul

Ubat akan diberikan mengikut masa (frequency) macam ni:

Satu kali sehari - digalakkan makan pada waktu pagi (sarapan pagi/subuh)

Dua kali sehari - pagi dan malam (sarapan pagi/makan malam, atau subuh/isyak)

Tiga kali sehari - pagi, petang, malam (sarapan/makan petang/makan malam, atau subuh/asar/isyak)

Empat kali sehari - pagi, tengahari, petang, malam (sarapan, makan tengahari, makan petang, sebelum tidur, atau subuh/zuhur/asar/isyak)

klik untuk besarkan

Ada ubat yang kena makan pada waktu yang ditetapkan, contoh: ubat kolesterol (statin) mesti makan sekali sehari pada waktu malam, jadi ubat macam ni kena laa ikut arahan yang spesifik, ye.

Kenapa ubat kena makan sebelum atau selepas makan? Sebabnya ialah penyerapan ubat tersebut berbeza. Ada ubat yang boleh diserap lebih baik dengan makanan, dan ada ubat yang tak boleh diserap kalau ada makanan dalam perut. 

Kalau arahan kata makan ubat sebelum makan, maknanya sejam sebelum makan, iaitu semasa perut kosong. Kalau sebelum makan terlupa nak makan ubat, kena tunggu perut dah kosong balik baru boleh makan ubat, iaitu 2 jam selepas makan. Jangan pulak seminit sebelum makan, telan ubat dulu, itu salah.

Kalau arahan ubat ialah selepas makan, makan ubat 5-10 minit selepas makan. Ada juga ubat yang kena makan bersama makanan.

Makan ubat dengan segelas air kosong biasa. Ada ubat yang boleh dimakan bersama jus oren atau epal, tapi kena ikut arahan doktor atau pharmacist laa ye.


Dalam entri ni saya bercerita panjang lebar sikit, saya kongsikan sekali masalah yang dihadapi dengan bekalan ubat pesakit, dengan harapan supaya masalah sebegini takkan timbul lagi (memang impossible, hehe).

Penting untuk pesakit kenal ubat sendiri. Saya memang teramat gembira kalau pesakit datang dan dia boleh bagitau nama ubat, kenapa dia perlu makan ubat tu, dan macam mana dia makan ubat tu, sampai kadang-kadang dia explain macam dia pulak yang nak bagi ubat kat saya, maknanya dia ambil tahu tentang ubat dia sendiri. Itu dah cukup menggembirakan hati seorang pharmacist, dan doktor jugak :)

Sekian, insyaAllah bersambung di lain entri.

No comments:

Post a Comment